Khamis, 9 April 2009

Kecemerlangan adalah satu ibadah





Tajuk perbincangan di atas menjelaskan bahawa kecemerlangan adalah merupakan suatu ibadah. Persoalannya, adakah benar bahawa ia merupakan suatu ibadah? Yakni suatu perintah atau suruhan Allah yang kita mesti laksanakan? Atau dengan kata yang lain, adakah bertindak cemerlang dan mencapai kecemerlangan merupakan ibadat – yang diperintahkan oleh Allah -yang dengannya kita akan mendapat pahala dan ganjaran baik daripada Allah.?

Untuk menjawab persoalan ini kita perlu merujuk kefahaman kita kepada sumber-sumber utama dan asas Islam itu sendiri, iaitu: Al-Qur’an dan Al-Hadis.

Pertama:

Dalam menjelaskan syarat-syarat ibadat sebelum ini, telah dinyatakan bahawa salah satu daripadanya ialah melakukan pekerjaan atau amalan itu dengan sebaik-baiknya, di mana Nabi saw telah bersabda ertinya: “Sesungguhnya Allah menyukai seseorang daripada kamu apabila ia melakukan sesuatu pekerjaan / amalan ia lakukan dengan penuh tekun.” Yakni ia lakukan dengan sebaik-baiknya (bertindak cemerlang).

Apabila sesuatu perkara itu disukai oleh Allah, maka sewajarnyalah kita berlumba-lumba melakukanya, sebab kita adalah diwajibkan mencari keredaan Allah – kesukaan Allah. Jadi melakukan sesuatu pekerjaan / amalan dengan sebaik-baiknya – bertindak cemerlang adalah diwajibkan juga, kerana ia termasuk dalam mencari keredaan Allah.

Kedua:

Dalam Hadis Nabi saw yang lain ertinya: Sesunggunya Allah mewajibkan berlaku ihsan (sebaik-baiknya – cemerlang) ke atas segala sesuatu, apabila kamu membunuh maka perelokkanlah pembunuhan, apabila kamu menyembelih, perelokkanlah penyembelihan, dan hendaklah kamu tajamkan pisau dan rehatkan binatang sembelihan." (riwayat Muslim)

Dalam hadis di atas, RasululLah saw menegaskan bahawa Allah mewajibkan kita melakukan dengan sebaik-baiknya dalam segala hal yang baik sahaja tentunya.

Bila Allah mewajibkan sesuatu, bermakna ia adalah satu perintah yang mesti kita laksanakan, sehingga jika tidak, ia adalah satu dosa. Oleh itu bertindak sebaik-baiknya – cemerlang – adalah suatu ibadat yang tidak diragu-ragukan lagi.

Contohnya, seperti yang disebutkan di dalam hadis itu seterusnya, hinggakan dalam hal sembelihan pun hendaklah dilakukan dengan sebaik-baiknya:

-Tajamkan pisau.

- Tenangkan/rehatkan binatang sembelihan.


Kalau dalam hal sembelihanpun kita kena melakukannya dengan sebaik-baiknya apatah lagi dalam perkara yang lebih besar dan utama.

Ketiga:

Dalam al-Qur’an pula, Allah banyak kali memerintahkan kita supaya bertindak dan melakukan sesuatu yang terbaik. Bahkan seiringan dengan perintah tersebut, Allah nyatakan bahawa Ia cintakan orang yang berbuat demikian dan bencikan orang yang melakukan sebaliknya. Antaranya firman Allah:

Ertinya:"Hendaklah kamu berlaku 'ihsan',sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang yang berlaku 'ihsan'." (Al-Baqarah: 195)

Ertinya: "Kemudian mereka bertaqwa dan berlaku 'ihsan',Sesungguhnya Allah sukakan orang-orang yang berlaku 'ihsan'." (Al-Ma'idah: 93)

Ertinya: “Dan lakukanlah yang terbaik sebagaimana Allah telah melakukan yang terbaik kepada kamu, dan janganlah kamu mencari kerosakan di muka bumi ini, sesungguhnya Allah tidak sukakan orang yang berbuat kerosakan.” (Al-Qasas:77)

Keempat:

Allah juga menjanjikan ganjaran yang besar bagi ‘muhsinin’ iaitu orang-orang yang melakukan sesuatu yang terbaik (cemerlang). Janji ganjaran yang hebat dan besar ini merupakan satu bukti bahawa bertindak cemerlang adalah merupakan suatu ibadat dan perintah yang mesti kita dilaksanakan. Ini menjadi semacam suatu polisi dalam Islam. Sesuatu amalan / perbuatan yang disediakan pahala atau ganjaran yang besar bermakna ia adalah suatu ibadat dan diperintahkan kita untuk melaksanakannya, sebaliknya jika amalan / perbuatan itu jika dilakukan akan disediakan dengan balasan siksa dan dosa, maka ia adalah dilarang.

Dalam al-Qur’an banyak ayat yang menyebut ganjaran baik dan besar akan diberikan kepada mereka yang melakukan sesuatu yang terbaik (muhsinun). Antaranya seperti berikut:

Surah Aali ‘Imran:

Ertinya: “Orang-orang yang melakukan sesuatu yang terbaik akan mendapat ganjaran yang besar”

Surah Yunus:

Ertinya: “Bagi orang-orang yang berbuat yang terbaik akan mendapat pahala yang terbaik (syurga) dan ‘tambahannya’(nikmat melihat Allah), dan muka mereka tidak ditutupi debu hitam dan tidak pula kehinaan. Mereka itulah penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya (26). Dan orang-orang yang mengerja kan kejahatan akan mendapat balasan yang setimpal dan mereka diselubungi kehinaan. Tiada bagi mereka penyelamat dari azab Allah, seakan-akan muka mereka ditutupi kepingan-kepingan malam yang gelap gelita. Mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya (27).”

Surah Al-Nahl:

Ertinya: “.....Orang-orang yang berbuat yang terbaik di dunia ini mendapat pembalasan yang baik. Dan sesunggunya negeri akhirat adalah lebih baik dan itulah sebaik-baik tempat bagi orang yang bertaqwa, (30). iaitu syurga ‘Adn yang mereka masuk di dalamnya, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, di dalamnya mereka mendapat apa saja yang mereka kehendaki. Demikianlah pembalasan bagi orang-orang yang bertaqwa (31).”

Memadailah setakat ini untuk meyakinkan kita bahawa bertindak cemerlang – terbaik, adalah termasuk di antara ibadat-ibadat dan perintah-perintah Allah yang tidak dapat tidak kita mesti melakukannya samada kita suka ataupun tidak.

Mampukah kita mencapai kecemerlangan?

Apabila kita memahami perkara-perkara berikut kita akan mendapatkan jawapan yang tepat bagi persoalan di atas:

1) Manusia dicipta oleh Allah sebagai sebaik-baik kejadian.

Firman Allah: (At Tin)

Sebaik-baik kejadian ini dapat dilihat dari segi:

  1. Bentuk fizikal
  2. Otak / akal
  3. Nafsu / keinganan.

Bentuk Fizikal

Bentuk dan struktur fizikal kita membolehkan kita melakukan pelbagai pergerakan yang tidak boleh makhluq lain lakukan.
Dengan anggota empat kerat, hampir tidak ada yang tidak dapat kita lakukan.


Otak/minda

Allah mengurniakan otak kepada kita yang tidak ada tolok bandingnya dengan kekuatan-kekuatan yang lain.


Antara kehebatan otak manusia:

- Manusia yang paling jarang berfikir mempunyai 10,000,000,000 sel otak.
- Orang yang banyak berfikir mempunyai 1,000,000,000,000 sel otak.
- Kemampuan 1 sel otak ialah bersamaan dengan satu komputer yang berkuasa besar.
- Otak kita mampu menampung 120 kemahiran.

- Kebanyakan kita baru hanya menggunakan 10% sahaja daripada otak

Dengan kehebatan inilah kita tidak hairan munculnya tokoh-tokoh yang hebat dalam sejarah Islam, contohnya Imam al-Bukhari yang mempunyai kekuatan ingatan yang mengkagumkan.

Nafsu / keinginan

Manusia dibekalkan juga oleh Allah dengan nafsu/keinginan.

Dengan nafsu ini, manusia didorong untuk mencapai kedudukan yang tinggi dan begitu juga sebaliknya.

Sehinggakan hampir tidak ada yang dapat menghalang manusia daripada mencapai keinginannya.

2) Umat Islam adalah umat yang terbaik (cemerlang).

Allah mengisytiharkan generasi awal Islam dulu sebagai umat yang terbaik atau cemerlang.

Ertinya:
“Kamu adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan untuk manusia kerana kamu menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah.” (Aali ‘Imran:110)

Kecemerlangan umat Islam dahulu disebabkan keimanan mereka yang padu kepada Allah dan mereka berpegang teguh serta melaksanakan ajaran Islam sepenuhnya. Dan mereka sentiasa berusaha memastikan ajaran Islam dipatuhi dengan melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar.

Implikasi daripada itu lahir peribadi-peribadi yang mulia yang tiada tandingannya dalam sejarah manusia sebelumnya dan selepasnya.

Sehingga kanak-kanak pun terbudaya dengan sifat-sifat yang cemerlang. Ini dapat dilihat dalam kisah seorang budak lelaki penggembala kambing dengan Khalifah Omar dan kisah seorang budak perempuan dengan ibunya penjual susu.

3) Pengalaman daripada tokoh dalam sejarah Islam.

Tokoh-tokoh seperti:

Usamah bin Zaid:
- Pemimpin angkatan tentera Islam semasa umur 18 tahun.

Ibnu Sina:
- Jadi doktor semasa umur 18 tahun.
- Menghasilkan buku-buku penulisan dalam pelabagi bidang sejak umur 20 tahun.

Kesimpulannya, tidak ada alasan yang munasabah bagi kita untuk kita mendakwa bahawa kita tidak mampu untuk mencapai kecemerlangan.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Ijlis Bina Nu'man Saah Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template