Rabu, 1 April 2009

APA YANG DIKEJAR DALAM HIDUPMU?


Sebuah bot ikan berlabuh di satu perkampungan nelayan di Terengganu. Seorang pelancong dari Kuala Lumpur memuji-muji kualiti ikan yang ditangkap oleh seorang pakcik nelayan yang turun dari bot itu dan bertanya kepadanya berapa lama masa yang diperlukan untuk menangkap ikan-ikan tersebut.

"Tak lah lama sangat. Sekejap aje." jawab pakcik nelayan.

"Habis tu, kenapa pakcik tak kerja lama sikit supaya dapat lagi banyak?" tanya pelancong tersebut.

Pakcik nelayan menerangkan bahawa tangkapan yang sedikit ini sudah cukup untuk memenuhi keperluan dia dan keluarganya.

Pelancong itu bertanya lagi, "Apa yang pakcik buat lepas pakcik tangkap ikan?"

"Pakcik akan bermain dengan anak-anak dan tidur tengahari sebentar dengan isteri tersayang. Bila tiba waktu petang, pakcik akan jalan-jalan sekitar kampung untuk jumpa kawan-kawan sambil minum di kedai kopi. Kehidupan pakcik sudah lengkap."

Pelancong itu mencelah, "Pakcik, saya ada PhD dalam bidang bisnes dan saya boleh tolong pakcik untuk jadi lebih kaya. Pakcik boleh mula dengan menambahkan lagi masa pakcik menangkap ikan. Lepas itu, jumlah ikan yang lebih itu pakcik boleh jual. Dengan keuntungan tersebut, pakcik akan ada modal untuk beli bot yang lebih besar."

"Dan lepas tu?" tanya pakcik tersebut.

"Bila sudah ada bot besar, pakcik boleh tangkap lebih banyak ikan. Lagi banyak ikan, lagi banyaklah duit. Bila makin banyak duit, pakcik boleh beli bot yang kedua dan ketiga, sehinggalah pakcik boleh beli sendiri sebuah bot tunda. Kemudian bila dah banyak duit juga, pakcik tak perlu lagi jual ikan kepada orang tengah. Sebaliknya pakcik mungkin boleh buka sendiri kilang memproses ikan. Kita buka kilang yang kecil dahululah. Kemudian bila sudah betul-betul maju, pakcik sekeluarga boleh tinggalkan kampung ini dah berhijrah ke Kuala Lumpur. Dari situ, pakcik boleh menguruskan empayar perniagaan ikan yang telah pakcik bina."

"Berapa lama agaknya masa yang pakcik perlukan kalau nak jadi macam tu?" tanya pakcik itu lagi.

"Dua puluh, mungkin 25 tahun," jawab pelancong itu.

"Kemudian selepas tu?"

"Haaa..sesuatu yang menarik akan berlaku selepas itu," jawab pelancong itu sambil ketawa terbahak-bahak. "Bila bisnes pakcik dah betul-betul besar, pakcik dah boleh beli dan main saham. Pakcik akan untung juta-juta ringgit. Kayo pakcik kayo!"

"Uiks, berjuta-juta ringgit? Betul ke cakap anak ni? Dan lepas itu apa akan jadi?" tanya pakcik itu lagi.

"Lepas itu pakcik dah bolehlah pencen, duduk aman di sebuah kampung kecil yang terletak di tepi pantai, boleh tidur lewat-lewat, main dengan anak cucu, tidur tengahari sebentar bersama isteri tersayang dan menghabiskan masa petang dengan minum kopi dan lepak-lepak bersama kawan sekampung." jawab pelancong berkenaan.

Moral cerita ini ialah: Ketahui apakah sebenarnya yang kita sedang cari dalam kehidupan ini kerana kita mungkin sudah pun mendapatkannya.


Berkata Abu Umamah r.a bahawasanya Nabi s.a.w telah bersabda:Allah berfirman:
"Aku yang menjadikan kebaikan dan kejahatan, maka berbahagialah siapa yang Kuciptakan dia untuk kebaikan, dan Kutakdirkan kebaikan di tanganya, serta celakalah siapa yang Kuciptakan untuknya kejahatan, dan Kutakdirkan kejahatan itu di tangannya,"-(Riwayat Ibnu Syahin)

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Ijlis Bina Nu'man Saah Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template