Selasa, 28 April 2009

Hukum bertepuk tangan, bersorak dan bersiul.

Salam Kamunting,
Rasanya elok juga saya menyertai rakan - rakan daripada kalangan ustaz yang banyak menulis mengenai pendapat - pendapat ulama’ muktabar dalam hukum fiqh Islami bagi membantu dan mendekatkan khalayak pembaca mencapai jawaban dalam hukum agama mengenai sesuatu masalah.
Bezanya laman saya ini bukan laman fiqh Islami sebagai terasnya. Juga, saya sekadar menterjemahkan pendapat ulama’ sepenuhnya tanpa membuat perbandingan dan mengemukakan pendapat sendiri. Cuma, hukum itu adalah pilihan saya. Juga, saya pilih sesuatu isu berdasarkan apa yang saya fikir sesuai untuk umum mengetahuinya.
Maaflah ya, saya tidak bersedia untuk menjadikan laman ini sebagai ruang soal jawab fiqh hukum. Jadi, jangan tanya persoalan hukum jika anda merasa kecewa kalau saya tidak menjawabnya segera. Saya pilih apa yang sesuai untuk dijawab bergantung kesesuaian dan keluasan masa yang ada. Rujuklah ruangan soal jawab ugama yang lebih luas dan terkenal.
Hukum fiqh penuh perbezaan pendapat. Jadi, pendapat pilihan saya ini janganlah menjadi medan pertikaian yang tak perlu. Nak bahas juga, bincang di tempat lain. Saya menghormati semua pendapat yang bertentangan.
Oleh kerana saya terlalu terkesan dengan ketokohan Asy Syaikh Al Qardhawi dan kekuatan ijtihadnya, saya mungkin banyak menterjemahkan pendapat beliau. Berbeza dengan cara saya dalam muzakarah buku ‘ugama dan politik’ karangan beliau yang lebih berbentuk intipati dan ringkasan, saya terjemahkan sepenuhnya tulisan beliau. Ini kerana hukum fiqh berbentuk istidlal dan pendalilan yang amat terperinci dan halus. Saya bimbang ringkasan saya menjauhkan, tidak mendekatkan.
Cuma, saya mungkin membuat ulasan sendiri sekadar perlu di akhirnya. Semoga ada manfaatnya di neraca amal di akhirat nanti. WaLlahu a’lam.
Saya mulakan dengan hukum bertepuk tangan, bersorak dan bersiul.
Hukum bertepuk tangan, bersorak dan bersiul
Tepuk tangan:
Memukul dengan kedua - dua belah tangan yang menghasilkan bunyi yang didengari. Apabila diulang ia boleh menghasilkan bunyi yang tersusun. Dalam bidalan ada disebut, sebelah tangan tak menghasil tepukan ( Bertepuk sebelah tangan ).
Manusia bertepuk tangan dengan beberapa tujuan:
1) Memberi peringatan seperti apabila ingin memasuki rumah seseorang atau ingin mengingatkan tuan rumah atau ahlinya mengenai kehadirannya, lalu dia menepuk tangan.
Inilah yang warid dan datang dalam hadis yang membenarkan wanita yang menjadi makmum dalam solat jamaah ketika mahu mengingatkan imam yang tersalah untuk menepuk kedua tangannya dari belakang saf agar imam sedar dan kembali membetulkan.
Dalam Hadis sahih, ” Barang siapa yang ingin membaiki kesalahan dalam solat hendaklah dia bertasbih ( dengan berkata ‘subhanaLlah‘ ). Sesungguhnya apabila dia berkata demikian, imam akan berpaling kepadanya ( memberi perhatian ). Dan sesungguhnya bertepuk tangan itu adalah khusus untuk wanita.”- Hadis muttafaqun ‘alaihi ( Al Bukhari dan Muslim ) daripada Sahl Ibn Saad sebagaimana dalam Al Lu’lu’ Wal Marjan (243).
Dalam Hadis lain, ” Bertasbih adalah untuk lelaki, manakala bertepuk adalah untuk wanita.”. - Hadis muttafaqun ‘alaihi ( Al Bukhari dan Muslim ) daripada Abi Hurairah sebagaimana dalam Al Lu’lu’ Wal Marjan (1204). Maksudnya, ketika dalam solat.
2) Melahir kegembiraan seperti memukul dengan bantuan kompang atau alatan lain dengan alunan yang tersusun yang menghasilkan bunyi yang berimbang sebagaimana kita saksikan dalam lagu - lagu negara Teluk dan sebagainya.
3) Memuji dan memandang baik terhadap sesuatu perkara sebagaimana kita saksikan para penonton memberi tepukan tangan untuk penyair selepas mendeklamasikan sajak dan syairnya, atau tepukan untuk pemidato yang berjaya menyentuh emosi khalayak pendengar sehingga sebaik saja mereka menyudahkan ucapan, dewan terus bergema dengan tepukan dan sorakan puji - pujian daripada para hadirin.
4) Beribadah. Inilah yang telah dilakukan oleh golongan Arab Quraisy jahiliyyah dan seumpamanya dalam ibadah mereka di Masjidil Haram dengan bersorak dan bersiul. Dan Itulah perbuatan yang diingkari oleh Al Quran di dalam firman Allah yang bermaksud : ” Tiadalah solat/ibadah mereka di Masjidil Haram selain muka’ dan tashdiah. “ Al Anfal: 35.
Al Qurtubi berkata: Berkata Ibnu Abbas: Masyarakat Quraisy jahiliyyah melakukan tawaf di Masjidil Haram dengan bertelanjang, bertepukan dan bersiulan. Pada pandangan mereka ia merupakan satu ibadat. Muka’ bererti bersiul, manakala tashdiah bererti bertepuk tangan. Itulah pandangan Mujahid, As Suddi dan Ibnu Umar.
Daripada Qatadah: Muka’ bererti bertepuk dengan tangan, manakala tashdiah bererti bertempik dan bersorak ( ini berbeza dengan pandangan oleh Mujahid tadi ).
Untuk tujuan yang pertama tadi, ia jelas harusnya di sisi syar’. Tiada siapa pun yang membantah. Untuk tujuan yang keempat juga jelas sekali pengharaman dan tegahan ke atasnya kerana ia merupakan pensyariatan ibadah yang tidak pernah diizinkan oleh Allah.
Hukum ini juga diterima pakai ke atas sesetengah golongan ahli sufi yang melakukan perbuatan tadi dalam amalan mereka. Ini seperti kata Al Qurtubi: Ini adalah jawaban ke atas golongan yang jahil daripada golongan sufi yang menari dan bertepuk dalam ibadah mereka. Ia adalah perkara mungkar yang ditolak oleh mereka yang berakal yang bersih daripada kekarutan itu. Pelakunya telah menyerupai/ tasyabbuh dengan perbuatan ibadah kaum musyrikin di Masjidil Haram.
Kami telah sebut pendapat Al ‘Izz Ibnu Abdus Salam dalam bicara hukum menari sekejap tadi ( dalam bukunya - pent ).
Hukum bertepuk dengan tujuan melahir kegembiraan dan memuji.
Berbaki dua perkara iaitu tujuan kedua dan ketiga perbuatan bertepukan seperti yang kami huraikan tadi iaitu dengan tujuan melahirkan kegembiraan dan keseronokan, juga untuk melahirkan rasa kagum dan memandang baik terhadap sesuatu perkara. Apakah hukum syar’ie dan apakah pendapat fiqh semasa mengenainya?
Hakikatnya, saya tidak menemui sebarang dalil yang muhkam dan kata putus daripada Al Quran dan As Sunnah mengenai pengharaman dan tegahan ke atas kedua - keduanya.
Mungkin sesetengah pendapat mengambil dalil daripada ayat dari ayat 35 Surah Al Anfal tadi yang bermaksud: ” Tiadalah solat / ibadah mereka di Masjidil Haram selain muka’ dan tashdiah.“
Tetapi ini adalah pengambilan dalil yang bukan pada tempatnya. Ini kerana ayat tersebut adalah tertuju kepada mereka yang melakukan ibadat dengan cara bertepuk sedangkan di sini tujuannya lain yang tiada pengertian ibadah di dalamnya.
Mungkin juga sesetengahnya mengambil dalil daripada Hadis Nabi sallaLlahu alihi wasallam yang bermaksud: ” Sesungguhnya tepukan itu hanyalah untuk wanita.” Sudah nyata larangan lelaki menyerupai wanita. RasuluLlah sendiri telah melaknati lelaki yang menyerupai wanita.
Tetapi adalah jelas dan maklum bahawa hadis tadi warid dan datang khusus mengenai bertepuk di dalam solat. Maka ia tidak boleh menjadi dalil untuk menegah lelaki daripada bertepuk di luar solat. Inilah yang disebut oleh Al Imam Ibnu Hajar Al Haitami. Beliau juga menyebut bahawa larangan menyerupai wanita itu adalah pada perkara yang memang khusus untuk wanita ( seperti jenis pakaian, perhiasan dan seumpamanya - pent ) . Adapun bertepuk, ia bukan perkara khusus wanita sahaja.
Kata beliau: “Dan saya nyatakan di dalam Syarhul Irsyad bahawa ianya makruh… Yang paling sahih dalam perkara ini, ianya halal dan harus.”
Berbaki satu hujah iaitu perbuatan bertepuk adalah amalan bukan islamik. Ia adalah amalan orang barat yang telah dibawa masuk ke dalam masyarakat Islam. Kita dilarang menyerupai orang - orang bukan Islam.
Jawabannya: Sesungguhnya kita dilarang menyerupai mereka di dalam perkara - perkara khusus ugama mereka dan cara ibadat mereka. Adapun perihal duniawi, maka tiada sebarang larangan untuk kita meniru mereka apabila ia bebas daripada larangan syara’ atau kerosakan yang ditegah syara’.
Asy Syaikh Dr Yusuf Al Qaradhawi.
Terjemahan petikan daripada kitab ‘ Fiqhul Lahwi Wat Tarwiih’.
………………………………
Komentar: Saya lebih cenderung untuk menggalakkan hadirin menunjukkan kegembiraan dalam majlis - majlis tertentu dengan cara bertepuk tangan. Antaranya majlis anak - anak PASTI terutama hari penyampaian hadiah dan sukan PASTI. Tepukan memberi ransangan yang baik untuk membina jati diri anak - anak. Saya selalu menyaksikan kejayaan anak - anak tanpa diiringi suasana senyap tanpa tepukan. Sungguh memilukan!
Antaranya, majlis tertentu yang dihadiri khalayak umum termasuk bukan Islam. Ini lebih mengisyaratkan kemudahan dan kemesraan. Jika kita hanya tersenyum ketika mereka bertepuk, ia memberi isyarat perbezaan pada ciri - ciri muslim yang tidak perlu.
Adapun majlis ugama dan politik Islam, laungan takbir tiada penggantinya. Pas elaksanakannya dengan penuh pujian. AlhamduliLlah.
Jadi, jangan segan bersorak, bertepuk dan bertakbir pada himpunan rakyat 100 ribu nanti!! WaLlahu a’lam.
Oleh: Ustaz Nik Abduh Bin Nik Abdul Aziz
Continue Reading...

Isnin, 27 April 2009

Ad Din Sebagai Nasihat

Nasihat merupakan suatu perkara wajib bagi tiap-tiap individu. Nasihat bermakna memelihara hati orang yang diberi nasihat dan suci daripada tipu daya serta khianat. Nasihat juga merangkumi perkara-perkara berkaitan Islam, Iman dan Ihsan. Nabi menyarankan sasaran nasihat iaitu nasihat kepada Allah dengan cara menunaikan segala perintah Allah dan menjauhi laranganNya. Nasihat kepada kitab Allah (Al-Qur'an) dengan cara mempelajari, memahami dan mengamalkan apa sahaja hukum yang terdapat di dalamnya. Seterusnya mengajar dan menyampaikan kepada orang lain. Nasihat kepada Rasulullah s.a.w dengan cara mentaati segala sunnah baginda yang ditinggalkan kepada kita dan menerima sunnah baginda yang ditinggalkan kepada kita dan menerima sunnah seiring dengan Al-Qur'an. Kita bukan sahaja diwajibkan mentaati Baginda sewaktu hidup bahkan setelah baginda wafat pun ketaatan wajib dilakukan. Nasihat kepada imam-imam orang Islam (pemimpin atau pemerintah) dengan cara menasihati mereka agar barlaku baik dalam pemerintahan. Jujur dan ikhlas dalam menerajui masyarakat. Menegakkan makruf dan menjauhi mengkar, ketaatan untuk mereka hanya berlaku apabila pemerintah mengamalkan apa yang dituntut oleh Allah s.w.t. Kita wajib mentaati mereka selagi mana pemerintahan mereka tidak keluar dari syariat Islam.

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud : "Sesiapa yang tidak mementingkan urusan orang Islam, maka ia bukan dari kalangan mereka, sesiapa yang diwaktu-waktu pagi dan petang tidak menasihati tentang Islam, Rasul dan Kitabnya kepada imam (pemimpinnya) dan orang-orang awam, maka ia bukan dari kalangan mereka."

Dewasa ini amalan nasihat menasihati di kalangan kita telah mula pudar. Sikap ego dan sombong menyebabkan hati tertutup daripada menerima nasihat, kita ingat kitalah manusia yang sempurna serta tidak perlu ditegur. Apabila di nasihat atau ditegur kita akan mudah melenting. Bukankah itu satu perkara yang merugikan kita. Sebenarnya tiap-tiap manusia memerlukan nasihat, kita tidak dapat menilai diri kita kerana kita bukannya manusia yang sempurna dalam setiap aspek. Hanya orang lain yang memandang kita sahaja yang dapat menilai serta membantu kita dalam proses untuk menjadi manusia yang hampir kepada kesempurnaan. Menerima nasihat bukan bermakna kita akan dipandang hina tetapi menerimanya merupakan amanah serta kepercayaan orang ramai terhadap kita.

Justeru itu, marilah kita sama-sama kita membuka serta melapangkan hati seluas-luasnya bagi menerima apa sahaja nasihat dan kritikan daripada saudara kita. Sesungguhnya nasihat itu bertujuan untuk membina peribadi muslim serta mengingatkan kita kepada kekuasaan Allah Ta'ala.

Continue Reading...

Sabtu, 25 April 2009

ADA APA DENGAN CINTA???



"La yu'minu ahadukum hatta yuhibbu li akhihi ma yuhibbu li nafsihi"


"Tiada beriman seorang kamu hingga ia mencintai untuk saudaranya apa yang ia cintai untuk dirinya."

Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim ini adalah antara hadis-hadis pendek tetapi banyak memberikan kesan kepada kehidupan manusia seluruhnya sekiranya ia dihayati sepenuhnya.

Cinta itu adalah kasih-sayang. Cinta itu merupakan elemen motivasi yang paling kuat dalam hidup manusia. Orang yang hidup tanpa wujudnya perasaan cinta di dalam dirinya kehidupannya adalah kosong dan sia-sia.

Kalau kita ini pembaca komik-komik kungfu Cina, kita akan dapati seorang hero itu akan melakukan apa sahaja demi menyelamatkan kekasihnya dan orang-orang yang dicintainya. Dengan semangat cinta itu juga dia berjaya mencapai kedudukan tertinggi dalam ilmu persilatan yang dipelajarinya.

Kerana cinta jugalah, kita mendengar kata-kata, "Lautan api sanggup ku renangi demi untuk membuktikan cintaku padamu." atau kata-kata, "Ambillah kapak dan belahlah dadaku ini." Orang yang tidak bercinta tidak akan sanggup mengeluarkan kata-kata yang membunuh diri seperti ini.

Seseorang itu adalah menipu sekiranya mengatakan dirinya tidak memerlukan cinta. Kerana cinta itu satu perasaan luhur anugerah Allah kepada semua hamba-hambanya. Orang yang bercinta merasakan hidupnya berwarna-warni dan sentiasa merasakan keseronokan kerana dilamun perasaan cinta.

Maka alangkah ruginya sekiranya dalam diri kita ini tiada langsung apa yang dinamakan perasaan cinta dan kasih sayang.

Cintanya Nabi saw kepada umatnya tidak pernah padam. Hatta sehingga saat sakaratulmaut pun, Nabi saw masih mengingati umatnya. Nabi begitu kasihkan kita sebagai umatnya sehingga umat akhir zaman ini dimohon diberikan pelbagai nikmat dan rahmat.

Umat terdahulu seperti kaum Aad telah dimusnahkan akibat keengganan mereka tunduk kepada ajaran Nabi Hud a.s, kaum Sadum pula telah diterbalikkan bumi mereka kerana mereka engkar kepada ajaran Nabi Lut a.s, kaum Nabi Nuh pula telah ditenggelamkan semua mereka yang menolak ajaran baginda.

Namun, disebabkan doa Rasulullah, umat akhir zaman ini diberi peluang untuk bertaubat sehingga ke hari Akhirat, malah di dalam bulan Ramadhan, dikurniakan pula satu malam yang mana ianya lebih baik daripada seribu bulan. Umat akhir zaman ini masih belum dimusnahkan walaupun sudah seribu satu maksiat berleluasa di muka bumi ini.

Cinta para sahabat kepada Rasulullah tiada taranya. Kisah perang Uhud membuktikan tujuh sahabat Nabi termasuh seorang wanita, sanggup mengorbankan nyawanya dengan membentuk perisai bagi melindungi nyawa baginda.

Cinta Saidina Abu Bakr kepada baginda pula, sanggup membiarkan ular mematuk tangannya ketika sama-sama bersembunyi di gua Thur. Cinta Saidina Umar terhadap baginda, hinggakan beliau tidak dapat menerima hakikat pada peringkat awalnya ketika wafatnya Nabi saw, cintanya Saidina Uthman kepada Nabi sehingga beliau sanggup membelanjakan keseluruhan kekayaannya demi perjuangan Islam. Cintanya Saidina Ali, beliau sanggup menggantikan tempat tidur Nabi saw dalam peristiwa hijrah walaupun itu adalah pilihan untuk mati.

Muazzin Rasulullah, Bilal b Rabah terus jatuh sakit dan akhirnya menyusuli kewafatan Nabi saw apabila beliau diberitahu yang Nabi saw telah tiada lagi di muka bumi. Ini semua adalah sebahagian kisah cinta generasi sahabat kepada Nabi saw.

Cinta generasi sahabat sesama mereka pula, juga dinukilkan dalam peristiwa Hijrah. Tanyalah diri kita pada hari ini, siapakah di antara kita yang sanggup menceraikan salah satu dari isteri-isterinya untuk diberikan kepada sahabat yang dicintainya? Tanyalah kepada diri kita, siapakah yang sanggup membahagikan hartanya kepada 2 demi untuk sahabat yang dicintainya?

Sedangkan cinta golongan Muhajirin dan Ansar itu, golongan Ansar sanggup menceraikan satu isteri-isteri mereka untuk menjadi pasangan saudaranya dari golongan Muhajirin. Golongan Ansar sanggup membahagi 2 harta kekayaan mereka demi cinta mereka kepada golongan Muhajirin.

Adakah cinta kita sudah menyamai cinta mereka? Berapa ramai di antara kita yang medermakan barang-barang yang paling disukai untuk diberikan kepada pelarian-pelarian perang yang seagama dengan kita? Adakah baju dan pakaian yang kita dermakan itu pakaian yang buruk dan lusuh ataupun masih cantik dan masih disukai oleh kita sendiri?

Berapa ramaikah yang sanggup memberikan derma sehingga kita sendiri tidak dapat makan untuk sehari? Sedangkan itulah yang dilakukan oleh Nabi dan para sahabat, mendermakan semua rezeki yang mereka dapat pada hari itu kepada golongan yang lebih memerlukan.

Cinta itu suci. Tetapi ia menjadi kotor bila kita sempitkan cinta itu hanya untuk cinta lelaki dan perempuan. Cinta lelaki dan perempuan itu suci sekiranya ianya telah disambung dengan ikatan pernikahan.

Sedangkan cinta itu luas. Cinta kita kepada Allah Yang Maha Pencipta, cinta kepada Rasul, cinta kita kepada ibu bapa dan cinta kita kepada saudara-saudara Islam yang lainnya.

Umat Islam hari ini telah kehilangan cinta dan kuasa cinta. Umat Islam hari ini hanya mengenal cinta yang dicorakkan oleh musuh-musuh Islam iaitu cinta asyik masyuk, iaitu cinta Valentine itulah. Cinta yang dibaluti oleh nafsu yang melesukan.

Umat Islam yang cintakan saudaranya tidak akan membenarkan negerinya menempatkan pengkalan-pengkalan tentera untuk menyerang saudaranya.

Umat Islam yang cintakan saudaranya tidak akan menggunakan undang-undang yang zalim untuk menindas saudaranya itu.

Umat Islam yang cintakan saudaranya akan bangkit menyahut seruan jihad bila saatnya telah tiba.

Tidak menyahut seruan jihad bererti kita tidak cinta kepada Islam. Menghalang seruan jihad menunjukkan kita sudah hilang perasaan cinta itu dalam diri kita. Takut-takut untuk menyokong gerakan jihad menunjukkan kita masih lemah imannya.

Ini semua menunjukkan cinta kita adalah cinta kepada dunia dan takut kepada maut. Tidak pernah memohon untuk mati syahid, bererti kita lebih mencintai neraka dari syurga.

Love is a verb. Maka buktikanlah cinta kita melalui perbuatan. Islam tidak akan tertegak sekiranya perbuatan kita masih tidak berlandaskan syariat.

Islam akan terus tertindas sekiranya kita masih belum memboikot barangan pemodal kapitalis-kapitalis Yahudi.

Islam akan terus dizalimi, sekiranya kita masih belum mahu bergerak dalam gerakan Islam, menyokong dan mengundi parti-parti Islam.

Islam akan terus diperintah, sekiranya ayat-ayat Quran itu hanya tercetak cantik di mushaf-mushaf dan tersusun di rak-rak.

Islam akan makin dipersenda, sekiranya kita masih menyakini kata-kata intelektual kuffar berbanding nasihat para ulama' pewaris nabi.

Islam akan terus berpecah, sekiranya kita masih diselebungi semangat kebangsaan tidak bertempat yang akhirnya menutup usaha membina khilafah yang satu.

Maka didiklah diri kita ini untuk mencintai Islam sepenuh hati kerana hati yang cinta kepada Islam sahaja yang akan terus hidup dan bersemangat untuk memastikan ketuanan Islam akan ditegakkan kembali.

Wallahu'alam.

Continue Reading...

Khamis, 9 April 2009

Kecemerlangan adalah satu ibadah





Tajuk perbincangan di atas menjelaskan bahawa kecemerlangan adalah merupakan suatu ibadah. Persoalannya, adakah benar bahawa ia merupakan suatu ibadah? Yakni suatu perintah atau suruhan Allah yang kita mesti laksanakan? Atau dengan kata yang lain, adakah bertindak cemerlang dan mencapai kecemerlangan merupakan ibadat – yang diperintahkan oleh Allah -yang dengannya kita akan mendapat pahala dan ganjaran baik daripada Allah.?

Untuk menjawab persoalan ini kita perlu merujuk kefahaman kita kepada sumber-sumber utama dan asas Islam itu sendiri, iaitu: Al-Qur’an dan Al-Hadis.

Pertama:

Dalam menjelaskan syarat-syarat ibadat sebelum ini, telah dinyatakan bahawa salah satu daripadanya ialah melakukan pekerjaan atau amalan itu dengan sebaik-baiknya, di mana Nabi saw telah bersabda ertinya: “Sesungguhnya Allah menyukai seseorang daripada kamu apabila ia melakukan sesuatu pekerjaan / amalan ia lakukan dengan penuh tekun.” Yakni ia lakukan dengan sebaik-baiknya (bertindak cemerlang).

Apabila sesuatu perkara itu disukai oleh Allah, maka sewajarnyalah kita berlumba-lumba melakukanya, sebab kita adalah diwajibkan mencari keredaan Allah – kesukaan Allah. Jadi melakukan sesuatu pekerjaan / amalan dengan sebaik-baiknya – bertindak cemerlang adalah diwajibkan juga, kerana ia termasuk dalam mencari keredaan Allah.

Kedua:

Dalam Hadis Nabi saw yang lain ertinya: Sesunggunya Allah mewajibkan berlaku ihsan (sebaik-baiknya – cemerlang) ke atas segala sesuatu, apabila kamu membunuh maka perelokkanlah pembunuhan, apabila kamu menyembelih, perelokkanlah penyembelihan, dan hendaklah kamu tajamkan pisau dan rehatkan binatang sembelihan." (riwayat Muslim)

Dalam hadis di atas, RasululLah saw menegaskan bahawa Allah mewajibkan kita melakukan dengan sebaik-baiknya dalam segala hal yang baik sahaja tentunya.

Bila Allah mewajibkan sesuatu, bermakna ia adalah satu perintah yang mesti kita laksanakan, sehingga jika tidak, ia adalah satu dosa. Oleh itu bertindak sebaik-baiknya – cemerlang – adalah suatu ibadat yang tidak diragu-ragukan lagi.

Contohnya, seperti yang disebutkan di dalam hadis itu seterusnya, hinggakan dalam hal sembelihan pun hendaklah dilakukan dengan sebaik-baiknya:

-Tajamkan pisau.

- Tenangkan/rehatkan binatang sembelihan.


Kalau dalam hal sembelihanpun kita kena melakukannya dengan sebaik-baiknya apatah lagi dalam perkara yang lebih besar dan utama.

Ketiga:

Dalam al-Qur’an pula, Allah banyak kali memerintahkan kita supaya bertindak dan melakukan sesuatu yang terbaik. Bahkan seiringan dengan perintah tersebut, Allah nyatakan bahawa Ia cintakan orang yang berbuat demikian dan bencikan orang yang melakukan sebaliknya. Antaranya firman Allah:

Ertinya:"Hendaklah kamu berlaku 'ihsan',sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang yang berlaku 'ihsan'." (Al-Baqarah: 195)

Ertinya: "Kemudian mereka bertaqwa dan berlaku 'ihsan',Sesungguhnya Allah sukakan orang-orang yang berlaku 'ihsan'." (Al-Ma'idah: 93)

Ertinya: “Dan lakukanlah yang terbaik sebagaimana Allah telah melakukan yang terbaik kepada kamu, dan janganlah kamu mencari kerosakan di muka bumi ini, sesungguhnya Allah tidak sukakan orang yang berbuat kerosakan.” (Al-Qasas:77)

Keempat:

Allah juga menjanjikan ganjaran yang besar bagi ‘muhsinin’ iaitu orang-orang yang melakukan sesuatu yang terbaik (cemerlang). Janji ganjaran yang hebat dan besar ini merupakan satu bukti bahawa bertindak cemerlang adalah merupakan suatu ibadat dan perintah yang mesti kita dilaksanakan. Ini menjadi semacam suatu polisi dalam Islam. Sesuatu amalan / perbuatan yang disediakan pahala atau ganjaran yang besar bermakna ia adalah suatu ibadat dan diperintahkan kita untuk melaksanakannya, sebaliknya jika amalan / perbuatan itu jika dilakukan akan disediakan dengan balasan siksa dan dosa, maka ia adalah dilarang.

Dalam al-Qur’an banyak ayat yang menyebut ganjaran baik dan besar akan diberikan kepada mereka yang melakukan sesuatu yang terbaik (muhsinun). Antaranya seperti berikut:

Surah Aali ‘Imran:

Ertinya: “Orang-orang yang melakukan sesuatu yang terbaik akan mendapat ganjaran yang besar”

Surah Yunus:

Ertinya: “Bagi orang-orang yang berbuat yang terbaik akan mendapat pahala yang terbaik (syurga) dan ‘tambahannya’(nikmat melihat Allah), dan muka mereka tidak ditutupi debu hitam dan tidak pula kehinaan. Mereka itulah penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya (26). Dan orang-orang yang mengerja kan kejahatan akan mendapat balasan yang setimpal dan mereka diselubungi kehinaan. Tiada bagi mereka penyelamat dari azab Allah, seakan-akan muka mereka ditutupi kepingan-kepingan malam yang gelap gelita. Mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya (27).”

Surah Al-Nahl:

Ertinya: “.....Orang-orang yang berbuat yang terbaik di dunia ini mendapat pembalasan yang baik. Dan sesunggunya negeri akhirat adalah lebih baik dan itulah sebaik-baik tempat bagi orang yang bertaqwa, (30). iaitu syurga ‘Adn yang mereka masuk di dalamnya, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, di dalamnya mereka mendapat apa saja yang mereka kehendaki. Demikianlah pembalasan bagi orang-orang yang bertaqwa (31).”

Memadailah setakat ini untuk meyakinkan kita bahawa bertindak cemerlang – terbaik, adalah termasuk di antara ibadat-ibadat dan perintah-perintah Allah yang tidak dapat tidak kita mesti melakukannya samada kita suka ataupun tidak.

Mampukah kita mencapai kecemerlangan?

Apabila kita memahami perkara-perkara berikut kita akan mendapatkan jawapan yang tepat bagi persoalan di atas:

1) Manusia dicipta oleh Allah sebagai sebaik-baik kejadian.

Firman Allah: (At Tin)

Sebaik-baik kejadian ini dapat dilihat dari segi:

  1. Bentuk fizikal
  2. Otak / akal
  3. Nafsu / keinganan.

Bentuk Fizikal

Bentuk dan struktur fizikal kita membolehkan kita melakukan pelbagai pergerakan yang tidak boleh makhluq lain lakukan.
Dengan anggota empat kerat, hampir tidak ada yang tidak dapat kita lakukan.


Otak/minda

Allah mengurniakan otak kepada kita yang tidak ada tolok bandingnya dengan kekuatan-kekuatan yang lain.


Antara kehebatan otak manusia:

- Manusia yang paling jarang berfikir mempunyai 10,000,000,000 sel otak.
- Orang yang banyak berfikir mempunyai 1,000,000,000,000 sel otak.
- Kemampuan 1 sel otak ialah bersamaan dengan satu komputer yang berkuasa besar.
- Otak kita mampu menampung 120 kemahiran.

- Kebanyakan kita baru hanya menggunakan 10% sahaja daripada otak

Dengan kehebatan inilah kita tidak hairan munculnya tokoh-tokoh yang hebat dalam sejarah Islam, contohnya Imam al-Bukhari yang mempunyai kekuatan ingatan yang mengkagumkan.

Nafsu / keinginan

Manusia dibekalkan juga oleh Allah dengan nafsu/keinginan.

Dengan nafsu ini, manusia didorong untuk mencapai kedudukan yang tinggi dan begitu juga sebaliknya.

Sehinggakan hampir tidak ada yang dapat menghalang manusia daripada mencapai keinginannya.

2) Umat Islam adalah umat yang terbaik (cemerlang).

Allah mengisytiharkan generasi awal Islam dulu sebagai umat yang terbaik atau cemerlang.

Ertinya:
“Kamu adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan untuk manusia kerana kamu menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah.” (Aali ‘Imran:110)

Kecemerlangan umat Islam dahulu disebabkan keimanan mereka yang padu kepada Allah dan mereka berpegang teguh serta melaksanakan ajaran Islam sepenuhnya. Dan mereka sentiasa berusaha memastikan ajaran Islam dipatuhi dengan melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar.

Implikasi daripada itu lahir peribadi-peribadi yang mulia yang tiada tandingannya dalam sejarah manusia sebelumnya dan selepasnya.

Sehingga kanak-kanak pun terbudaya dengan sifat-sifat yang cemerlang. Ini dapat dilihat dalam kisah seorang budak lelaki penggembala kambing dengan Khalifah Omar dan kisah seorang budak perempuan dengan ibunya penjual susu.

3) Pengalaman daripada tokoh dalam sejarah Islam.

Tokoh-tokoh seperti:

Usamah bin Zaid:
- Pemimpin angkatan tentera Islam semasa umur 18 tahun.

Ibnu Sina:
- Jadi doktor semasa umur 18 tahun.
- Menghasilkan buku-buku penulisan dalam pelabagi bidang sejak umur 20 tahun.

Kesimpulannya, tidak ada alasan yang munasabah bagi kita untuk kita mendakwa bahawa kita tidak mampu untuk mencapai kecemerlangan.

Continue Reading...
 

Ijlis Bina Nu'man Saah Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template